KOLEJ PERIKANAN MALAYSIA LUMUT
Kolej Perikanan Malaysia Lumut (KPML) yang terletak di Kampung Acheh, Perak mula beroperasi sepenuhnya pada September 2016 membuka ruang dalam melahirkan graduan-graduan dalam bidang keusahawanan dan perikanan.
KPML menyediakan perkhidmatan pendidikan secara PERCUMA tanpa sebarang yuran pengajian dikenakan. Kos pengajian KPML dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
Namun pelatih hanya perlu menanggung yuran pendaftaran sebanyak RM330 dan dipulangkan dalam bentuk premium insurans, baju korporat, dan pelbagai kegunaan pengajian yang lain.
Pelatih turut diberikan elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan untuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan RM250 sebulan untuk Diploma Kemahiran Malaysia (DKM). Manakala elaun bagi Latihan Industri adalah sebanyak RM300 sebulan.
Antara bidang yang ditawarkan ialah bidang Teknologi Perikanan Tangkapan dengan kursus Sijil Operasi Teknologi Perikanan Tangkapan yang memberikan peluang kepada graduan memiliki kemahiran dalam bidang pelayaran dan penangkapan ikan dan juga kursus Diploma Kemahiran Eksekutif Akuakultur dan Sijil Juruteknik Akuakultur , Akuakultur Marin.Tempoh pengajian adalah selama dua tahun.
KPML merupakan satu-satunya pusat pengajian di negara ini yang mempunyai alat simulasi pelayaran dan tangkapan. Pelatih dapat merasai situasi sebenar berada di lautan dan bagaimana untuk menaikkan tangkapan.
Dengan fasiliti yang serba baharu dan canggih, pelajar bukan sahaja diajar secara teori malah turut diberikan latihan secara amali.
Pengambilan pelajar bagi mengikuti program tersebut dibuat pada bulan Januari dan Julai setiap tahun.
Bagi mereka yang berminat, syarat-syarat kemasukkan serta permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang www.moa.gov.my/natc atau laman sesawang rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia upu.mohe.gov.my.